SELAMAT MAJU JAYA ANAK-ANAKKU SEMOGA KALIAN CEMERLANG DALAM PMR DAN SPM 2013

Friday, 27 September 2013

Karangan Umum PMR

Percubaan SBP 2011:  Saw Jing Xian 3 Setia

Soalan 5
      Kata-kata yang sering diujar oleh orang tua-tua yang berbunyi sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan memang tidak dapat dinafikan.  Peribahasa ini menggambarkan keadaan sseorang yang perlu menginsafi diri sekiranya telah melakukan kesalahan atau dosa.  Hal ini dapat digambarkan melalui sebuah cerita.

      Pada suatu hari, Danny bersiul-siul menuruni tangga banglo dua tingkat di puncak bukit bandar Citra Alam.  Dia terus mencapai kunci kereta yang tergantung berhampiran pintu masuk banglo milik ayahnya yang telah meninggal dunia itu tanpa mempedulikan ibunya yang sedang bersandar di ruang tamu menonton televisyen.  Puan Noria hanya mampu menggelengkan kepalanya apabila melihat telatah anak tunggalnya kesayangannya itu.  Di dalam hatinya timbul perasaan menyesal dan sedih kerana anak yang dibesarkannya seperti menatang minyak yang penuh bersikap sedemikian rupa terhadap dirinya.

      Sudah berbuih mulut puan Noria menasihati Danny supaya berubah sikap tetapi semuanya seperti mencurah air ke daun keladi.  Danny masih dengan sikapnya yang degil dan keras kepala.  Puan Noria dapat menghidu setiap aktiviti Danny ketika di luar rumah.  Danny bukan sahaja sering mengunjungi pusat-pusat hiburan malahan turut terlibat dalam perlumbaan kereta secara haram.  Telinga puan Noria sudah lali mendengar semuanya itu tetapi apakan daya, dia tidak mampu berbuat apa-apa.

      Puan Noria menyedari kelakuan Danny adalah berpunca daripada kesilapannya sendiri yang terlalu memanjakan Danny sejak kecil lagi.  Dia tidak pernah mengendahkan peribahasa Melayu iaitu sayangkan anak tangan-tangankan, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan.  Puan Noria terus menanti kepulangan Danny dalam kegelapan malam sambil melayani fikirannya yang melayang jauh mengenangkan nasib dirinya kelak. Matanya yang semakin berat dirasa terlelap seketika.  Dia tersedar apabila pintu dibuka oleh seseorang.  Matanya tepat memandang muka jam yang menunjukkan pukul 3.30 pagi.  Danny yang baru pulang langsung tidak mengendahkan ibunya.  

      "Danny baru balik", tegur puan Noria.  "Mari duduk sekejap, ibu ingin bercakap sesuatu dengan Danny", sambung puan Noria.  Danny menghampiri ibunya lalu duduk di sisi ibunya.  Puan Noria terbau sesuatu yang kurang enak.

      "Danny minum minuman keras?", tanya puan Noria lagi.  Danny mengangguk.  Puan Noria terus menangis dan menolak anaknya ke tepi.

      "Sampai bila Danny mahu bersikap begini?  Ibu mahu Danny berubah sikap.  Sudah dua minggu Danny tidak ke pejabat.  Semua masalah yang berlaku di pejabat, Danny tidak mengambil peduli lagi", marah puan Noria memcah keheningan malam.

      Danny merenung tajam ke arah ibunya.  Sikap Danny telah menyebabkan syarikat peninggalan ayahnya berada dalam keadaan tidak stabil.  Danny terus mengangkat punggungnya lalu menuju ke pintu.  Puan Noria membiarkan sahaja tindakan Danny kerana sudah masak akan perangani anak tunggalnya itu.  Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi enjin kereta dihidupkan.  Danny meninggalkan perkarangan banglo dua tingkat itu.  Oleh sebab terlalu mengantuk, puan Noria tertidur.  Dia terjaga apabila terdengar bunyi deringan telefon.  Cepat-cepat dia menjawab panggilan telefon dengan perasaan berdebar-debar.

      Puan Noria menangis teresak-esak.  Danny terlibat dengan kemalangan jalan raya.  Puan Noria menguatkan semangatnya lalu terus memecut laju kereta mewahnya itu menuju ke hospital.  Danny masih belum sedar.  Setelah hampir seminggu terlantar di hospital, Danny mula menunjukkan perubahan positif.  Dia menangis teresak-esak apabila menyedari ibunya sentiasa di sisinya.  Bibit-bibit penyesalan mula meronta-ronta di dalam hatinya.  Danny memeluk ibunya sambil memohon maaf.  Dia telah berjanji akan membetulkan semula kesilapannya yang lalu, buang yang keruh, ambil yang jernih.  Puan Noria besyukur kerana anak tunggal kesayangannya itu telah kembali ke pangkal jalan.  Pengalaman yang dilalui Danny amat sesuai untuk menggabarkan peribahasa sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan.  

          


4 comments:

  1. Minta izin untuk dijadikan pembentangan contoh karangan peribahasa :)

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Replies
    1. Eh apa ni thttps://www.tenor.co/PMJx.gif

      Delete