SELAMAT MAJU JAYA ANAK-ANAKKU SEMOGA KALIAN CEMERLANG DALAM PMR DAN SPM 2013

Friday, 27 September 2013

ANAK-ANAKKU PENGAWAS...sabar leeerrr


DISIPLIN DISIPLIN DISIPLIN!  Dah muak rasanya mendengar nama yang satu ini. Dari mula celik mata sampai le malam nak pejam balik mata ni.. Tak habis-habis teguran demi teguran yang disumbat ke telinga ni….  Bukankah indahnya hidup ni kalau…

            Ya!  Hidup ini indah andai semua penghuni di muka bumi ini mengikut aturan yang wajar dipatuhi.  Ia bukan sahaja demi kebaikan diri kita sendiri bahkan demi kebaikan semua pihak.  Cubalah kita fikir, apakah akibatnya andai jalan raya tidak ditanda dengan garisan putih?  Apakah tujuan garisan tersebut ditanda? Dengan adanya garisan putih tersebut maka semua pengguna jalan raya dapat memandu dengan lebih teratur dan selamat.  Jelas terbukti bahawa garisan putih yang tidak mampu berkata-kata itu telah berfungsi sebagai pengatur disiplin manusia demi kesejahteraan semua pihak.

            Begitu juga dengan kehidupan kita, ia akan menjadi indah andai kita sentiasa mematuhi peraturan kerana dunia ini adalah milik semua makhluk.  Andai kita berbuat sesuka hati maka akan terganggulah pihak yang lain.  Contohnya, bangun pagi-pagi untuk datang ke sekolah pun kita puas digolek diuli oleh emak kita, tidakkah itu telah menyusahkan emak kita?  Semasa di sekolah pula kita suka merayau-rayau, tidakkah itu menyusahkan guru-guru kita?  Ingat!!! Apabila kita menyusahkan orang lain, hidup kita bukan sahaja tidak diberkati malah kebahagiaan diri kita juga akan terkikis tanpa kita sedari.



            Kita tidak akan dapat lari dari peraturan walau di bumi mana sekalipun kita pijak.  Jika kita bermain ketingting sekalipun ia terikat dengan peraturan. Oleh itu, kita yang perlu mengubah diri kita untuk menerima peraturan bukan peraturan yang perlu diubahsuai mengikut kehendak hati kita.  Sesungguhnya hati kita sentiasa dikawal oleh gelodak hawa nafsu yang mengarah berbuat kejahatan andai kita tidak kuat iman untuk mengawalnya.  Maka hendaklah kita sentiasa berwaspada terhadap suara hati kita yang sentiasa ingin bercanggah dengan peraturan.

No comments:

Post a Comment