SELAMAT MAJU JAYA ANAK-ANAKKU SEMOGA KALIAN CEMERLANG DALAM PMR DAN SPM 2013

Friday, 27 September 2013

SENARAI PERIBAHASA DARIPADA BUKU TEKS BAHASA MELAYU KBSM TINGKATAN 4 DAN 5



PERIBAHASA DI DALAM BUKU TEKS BM TINGKATAN 4


1.Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

2. Darah daging
Maksud : Anak dan saudara-mara daripada keturunan sendiri.

3. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Maksud : Mengalami susah senang bersama-sama.

4. Meninggi diri
Maksud : Sombong

5. Bermuka dua
Maksud : Tidak jujur.

6. Baik hati
Maksud : Bersikap baik dan penyayang (suka menolong).

7. Tulang belakang
Maksud : Punca kekuatan/ orang harapan

8. Genggam bara api biar sampai jadi arang
Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.

9. Bagai kaca terhempas ke batu
Maksud : Sangat sedih atau kecewa.

10. Melentur buluh biarlah dari rebungnya
Maksud : Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.

11. Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
Maksud : Dua orang atau dua pihak yang sama status atau darjat.

12. Seperti lembu dicucuk hidung
Maksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang.

13. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing
Maksud : Bersama-sama menghadapi atau mengerjakan sesuatu.

14. Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
Maksud : Segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.

15. Terang hati
Maksud : Lekas pandai.

16. Rendah hati
Maksud : Tidak sombong

17. Murah hati
Maksud : Pemurah.

18. Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
Maksud : Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.

19. Tangan kosong
Maksud : Hampa.


PERIBAHASA DI DALAM BUKU TEKS BM TINGKATAN 5

1. Lintah darat
Maksud : Peniaga yang mengambil keuntungan yang terlalu tinggi.


2. Bagai aur dengan tebing
Maksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan saling membantu.

3. Anak dagang
Maksud : Orang luar yang datang menetap di sesuatu tempat.

4. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri
Maksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.

5. Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai
Maksud : Kalau takut berhadapan dengan penderitaan , lebih baik jangan melakukan sesuatu yang susah.

6. Indah khabar daripada rupa
Maksud : Perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan.

7. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
Maksud : Pengagihan yang sama banyak.

8. Bukit sama didaki, lurah sama dituruni
Maksud : Perhubungan yang sangat akrab, senang susah bersama.

9. Kacang lupakan kulit
Maksud : Orang yang melupakan asalnya atau orang yang pernah menolongnya setelah mendapat kesenangan.

10. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Maksud : Menurut adat atau peraturan di tempat yang kita diami atau tinggal.

11. Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
Maksud : Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan.

12. Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua
Maksud : Kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya.

13. Memerah otak
Maksud : Berfikir dengan bersungguh-sungguh.

14. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
Maksud : Tidak akan tercapai maksudnya kalau tidak mahu berusaha dan bersusah payah.

15.Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
Maksud : Bersusah payah terlebih dahulu untuk mendapatkan kesenangan pada kemudian hari.

16. Yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang
Maksud : Sesuatu benda tidak akan datang tanpa usaha

17. Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit
Maksud : Sabar mengerjakan sesuatu lama-lama berhasil juga.

18. Bak cendawan tumbuh selepas hujan
Maksud : Terlalu banyak pada sesuatu masa.

19. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

20. Yang kita kejar tak dapat, yang kita kendong pula berciciran
Maksud : Bernasib malang kerana mengejar sesuatu, yang sudah di tangan hilang pula.

21. Mencari jalan
Maksud : Berikhtiar menyelesaikan sesuatu perkara.

22. Biar mati anak, jangan mati adat
Maksud : Orang yang kuat perpegang pada adat.

23.Sediakan payung sebelum hujan
Maksud : Berjaga-jaga dulu sebelum mendapat sesuatu bencana.

24. Berbesar hati
Maksud : Gembira.

25. Anak buah
Maksud : a. Anak saudara. b. Pekerja di bawah jagaan kita.

26. Tuan rumah
Maksud : Tempat berlangsungnya sesuatu acara.

27. Yang lama dikelek, yang baharu didukung
Maksud : Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baharu.

28. Batu penghalang
Maksud : Halangan yang dihadapi.

29. Untung anak lelaki cari-carikan, untung anak perempuan nanti-nantikan
Maksud : Orang lelaki yang merisik bakal isterinya.

30. Bagai ikan pulang ke lubuk
Maksud : Perantau yang pulang ke tempat asal.

ANAK-ANAKKU PENGAWAS...sabar leeerrr


DISIPLIN DISIPLIN DISIPLIN!  Dah muak rasanya mendengar nama yang satu ini. Dari mula celik mata sampai le malam nak pejam balik mata ni.. Tak habis-habis teguran demi teguran yang disumbat ke telinga ni….  Bukankah indahnya hidup ni kalau…

            Ya!  Hidup ini indah andai semua penghuni di muka bumi ini mengikut aturan yang wajar dipatuhi.  Ia bukan sahaja demi kebaikan diri kita sendiri bahkan demi kebaikan semua pihak.  Cubalah kita fikir, apakah akibatnya andai jalan raya tidak ditanda dengan garisan putih?  Apakah tujuan garisan tersebut ditanda? Dengan adanya garisan putih tersebut maka semua pengguna jalan raya dapat memandu dengan lebih teratur dan selamat.  Jelas terbukti bahawa garisan putih yang tidak mampu berkata-kata itu telah berfungsi sebagai pengatur disiplin manusia demi kesejahteraan semua pihak.

            Begitu juga dengan kehidupan kita, ia akan menjadi indah andai kita sentiasa mematuhi peraturan kerana dunia ini adalah milik semua makhluk.  Andai kita berbuat sesuka hati maka akan terganggulah pihak yang lain.  Contohnya, bangun pagi-pagi untuk datang ke sekolah pun kita puas digolek diuli oleh emak kita, tidakkah itu telah menyusahkan emak kita?  Semasa di sekolah pula kita suka merayau-rayau, tidakkah itu menyusahkan guru-guru kita?  Ingat!!! Apabila kita menyusahkan orang lain, hidup kita bukan sahaja tidak diberkati malah kebahagiaan diri kita juga akan terkikis tanpa kita sedari.



            Kita tidak akan dapat lari dari peraturan walau di bumi mana sekalipun kita pijak.  Jika kita bermain ketingting sekalipun ia terikat dengan peraturan. Oleh itu, kita yang perlu mengubah diri kita untuk menerima peraturan bukan peraturan yang perlu diubahsuai mengikut kehendak hati kita.  Sesungguhnya hati kita sentiasa dikawal oleh gelodak hawa nafsu yang mengarah berbuat kejahatan andai kita tidak kuat iman untuk mengawalnya.  Maka hendaklah kita sentiasa berwaspada terhadap suara hati kita yang sentiasa ingin bercanggah dengan peraturan.

Hanya Setahun Masa Berbaki




Warkah buat anak-anak kesayanganku 4PSV2, 2013....
    
       Wajah-wajah kelesuan kalian mengetuk hatiku untuk berbicara.  Apakah kalian punyai impian setinggi gunung Jerai yang teguh di hujung bendang Penghulu Him? Mungkinkah kalian punyai impian yang jauh lebih agam bagai gunung Kinabalu di seberang Laut China Selatan. Yang pastinya kalian mesti menaruh harapan untuk menikmati kehidupan indah di dunia yang fana ini.

Anak-anakku yang dikasihi...

      Yakinilah hatimu Allah Maha Adil. Sinarilah wajahmu dengan wuduk Teguhkanlah imanmu dengan mendirikan solat lima waktu. YAKINLAH ALLAH MAHA ADIL. Keluhan kalian merendah diri hanyalah bisikan yang melemahkan hati kalian. Percayalah segalanya bermula dari hati kalian sendiri.  Andai kalian ingin menggapai bintang di langit, pastinya langkah pertama menjadi tuntutan.  Usaha dan harapan berpadu bakal menyusur jalan berliku dengan kitab dan sunnah menjadi pedoman. 

Anak-anakku yang dikasihi...
  
      Masih ingatkah pesanan ibu?... Hanya setahun masa berbaki untuk kalian menempuh peperiksaan SPM.  Hanya setahun masa berbaki inilah yang menjadi penentu masa depan kalian... sama ada gelap mahupun cerah.  Mahukah kalian memiliki sekeping kertas yakni sijil yang sama nilainya dengan kertas yang kalian gumpal jadikan sampah?  Hanya kertas yang kalian lipat menjadi kapal terbang.. bersepahan di kaki lima.. Mana mungkin begini jadinya... Ibu tahu hati kalian.. pastinya mengingini sekeping kertas yakni sijil SPM yang mempunyai nilai yang tinggi.  HANYA SETAHUN MASA BERBAKI.

Karangan Jenis Fakta
      Karangan jenis fakta biasanya memerlukan anda mengemukakan isi dengan fakta yang benar dan logik.  Oleh itu, anda mestilah mempunyai pengetahuan yang luas dalam pelbagai bidang.  Antaranya ialah bidang sains, geografi, sejarah dan sebagainya.

Ciri-ciri karangan :
1.  Memberi petunjuk dan arahan
2.  Menerangkan proses terjadinya sesuatu perkara
3. Memberikan fakta tentang isu dan tema
4.  Menerangkan sesuatu peraturan
5.  Tidak berbentuk khayalan


Contoh:
Tulis sebuah karangan tentang kepentingan sektor pelancongan bagi sesebuah negara.

Tema - sektor pelancongan

Fokus - kepentingan



      Sektor pelancongan amat penting kepada pembangunan sesebuah negara.  Malaysia kini berada di tangga yang kesembilan paling banyak dikunjungi oleh seluruh pelancong dari segenap pelosok dunia. Pelbagai usaha yang dijalankan oleh pihak kerajaan untuk terus berdaya saing dalam sektor pelancongan di peringkat antarabangsa. Kawasan alam sekitar yang berpotensi dijadikan pusat peranginan terus mendapat perhatian serius oleh pihak kerajaan mahupun swasta.  Usaha-usaha memperindah kawasan alam sekitar giat dijalankan agar dapat menarik pelancong dari dalam dan luar negara.  Kawasan yang menjadi tumpuan para pelancong ialah kawasan pinggir pantai dan kawasan pergunungan yang masih mengekalkan pelbagai jenis flora dan fauna.

      Seiring dengan kemajuan negara, sektor pelancongan turut memberi sumbangan yang besar dalam kemajuan ekonomi.  Pertumbuhan ekonomi bertambah pesat apabila kehadiran pelancong asing yang membanjiri negara ini  menyebabkan berlaku pertukaran mata wang asing.  Hal yang demikian menyebabkan kadar pendapatan negara bertambah dan secara tidak langsung pendapatan per kapita rakyat juga akan meningkat......


Karangan Umum PMR

Percubaan SBP 2011:  Saw Jing Xian 3 Setia

Soalan 5
      Kata-kata yang sering diujar oleh orang tua-tua yang berbunyi sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan memang tidak dapat dinafikan.  Peribahasa ini menggambarkan keadaan sseorang yang perlu menginsafi diri sekiranya telah melakukan kesalahan atau dosa.  Hal ini dapat digambarkan melalui sebuah cerita.

      Pada suatu hari, Danny bersiul-siul menuruni tangga banglo dua tingkat di puncak bukit bandar Citra Alam.  Dia terus mencapai kunci kereta yang tergantung berhampiran pintu masuk banglo milik ayahnya yang telah meninggal dunia itu tanpa mempedulikan ibunya yang sedang bersandar di ruang tamu menonton televisyen.  Puan Noria hanya mampu menggelengkan kepalanya apabila melihat telatah anak tunggalnya kesayangannya itu.  Di dalam hatinya timbul perasaan menyesal dan sedih kerana anak yang dibesarkannya seperti menatang minyak yang penuh bersikap sedemikian rupa terhadap dirinya.

      Sudah berbuih mulut puan Noria menasihati Danny supaya berubah sikap tetapi semuanya seperti mencurah air ke daun keladi.  Danny masih dengan sikapnya yang degil dan keras kepala.  Puan Noria dapat menghidu setiap aktiviti Danny ketika di luar rumah.  Danny bukan sahaja sering mengunjungi pusat-pusat hiburan malahan turut terlibat dalam perlumbaan kereta secara haram.  Telinga puan Noria sudah lali mendengar semuanya itu tetapi apakan daya, dia tidak mampu berbuat apa-apa.

      Puan Noria menyedari kelakuan Danny adalah berpunca daripada kesilapannya sendiri yang terlalu memanjakan Danny sejak kecil lagi.  Dia tidak pernah mengendahkan peribahasa Melayu iaitu sayangkan anak tangan-tangankan, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan.  Puan Noria terus menanti kepulangan Danny dalam kegelapan malam sambil melayani fikirannya yang melayang jauh mengenangkan nasib dirinya kelak. Matanya yang semakin berat dirasa terlelap seketika.  Dia tersedar apabila pintu dibuka oleh seseorang.  Matanya tepat memandang muka jam yang menunjukkan pukul 3.30 pagi.  Danny yang baru pulang langsung tidak mengendahkan ibunya.  

      "Danny baru balik", tegur puan Noria.  "Mari duduk sekejap, ibu ingin bercakap sesuatu dengan Danny", sambung puan Noria.  Danny menghampiri ibunya lalu duduk di sisi ibunya.  Puan Noria terbau sesuatu yang kurang enak.

      "Danny minum minuman keras?", tanya puan Noria lagi.  Danny mengangguk.  Puan Noria terus menangis dan menolak anaknya ke tepi.

      "Sampai bila Danny mahu bersikap begini?  Ibu mahu Danny berubah sikap.  Sudah dua minggu Danny tidak ke pejabat.  Semua masalah yang berlaku di pejabat, Danny tidak mengambil peduli lagi", marah puan Noria memcah keheningan malam.

      Danny merenung tajam ke arah ibunya.  Sikap Danny telah menyebabkan syarikat peninggalan ayahnya berada dalam keadaan tidak stabil.  Danny terus mengangkat punggungnya lalu menuju ke pintu.  Puan Noria membiarkan sahaja tindakan Danny kerana sudah masak akan perangani anak tunggalnya itu.  Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi enjin kereta dihidupkan.  Danny meninggalkan perkarangan banglo dua tingkat itu.  Oleh sebab terlalu mengantuk, puan Noria tertidur.  Dia terjaga apabila terdengar bunyi deringan telefon.  Cepat-cepat dia menjawab panggilan telefon dengan perasaan berdebar-debar.

      Puan Noria menangis teresak-esak.  Danny terlibat dengan kemalangan jalan raya.  Puan Noria menguatkan semangatnya lalu terus memecut laju kereta mewahnya itu menuju ke hospital.  Danny masih belum sedar.  Setelah hampir seminggu terlantar di hospital, Danny mula menunjukkan perubahan positif.  Dia menangis teresak-esak apabila menyedari ibunya sentiasa di sisinya.  Bibit-bibit penyesalan mula meronta-ronta di dalam hatinya.  Danny memeluk ibunya sambil memohon maaf.  Dia telah berjanji akan membetulkan semula kesilapannya yang lalu, buang yang keruh, ambil yang jernih.  Puan Noria besyukur kerana anak tunggal kesayangannya itu telah kembali ke pangkal jalan.  Pengalaman yang dilalui Danny amat sesuai untuk menggabarkan peribahasa sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan.