Analisis Karangan Peperiksaan Akhir Tahun Tingkatan 4ST1
Cikgu mengucapkan tahniah kepada semua pelajar 4ST1 atas usaha anda semua mempertingkat kualiti penulisan Bahasa Melayu. Cikgu kagum dengan usaha anda semua yang bersungguh-sungguh untuk menghasilkan karangan yang bermutu dari semasa ke semasa. Namun, masih ada beberapa perkara yang perlu anda beri perhatian semasa menulis karangan sama ada karangan bahagian A ataupun karangan bahagian B. Di sini cikgu senaraikan beberapa perkara penting sebagai panduan untuk anda semua terus meningkatkan kualiti penulisan masing-masing:
1. Karangan bahagian A hendaklah ditulis antara 200 hingga 250 patah perkataan SAHAJA. Pastikan anda akur dengan arahan ini sekalipun anda mampu menghurai idea dengan panjang lebar.
2. Istilah-istilah yang anda semua gunakan adalah tepat. Tahniah. Namun, anda semua mesti berhati-hati apabila menggunakan istilah Inggeris yang telah diMelayukan. Antaranya ialah :
i. nicotine sepatutnya nikotin
ii. carbon monoxida sepatutnya karbon monoksida
iii. atmosphera sepatutnya atmosfera
iv. carbon dioxide sepatutnya karbon dioksida
v. cancer sepatutnya kanser
3. Kosa kata yang tepat dan luas amat mempengaruhi pemarkahan. Oleh itu, pastikan anda semua peka dalam penggunaan kosa kata. Antara kesilapan yang anda lakukan ialah sisa rokok disebut sebagai pucuk rokok sepatutnya puntung rokok.
4. Pastikan binaan ayat tidak tergantung terutama ketika memulakan perenggan baru seperti ini :
Selain itu, mencemarkan alam sekitar. Merokok turut mengakibatkan berlakunya pencemaran udara. Hal ini demikian kerana asap yang keluar dari rokok............
Sepatutnya anda menggunakan ayat yang gramatis seperti ini:
Selain itu, tabiat merokok boleh mencemarkan alam sekitar. / Selain itu, merokok juga akan mencemarkan alam sekitar.
5. Jangan sesekali mulakan ayat dengan menggunakan kata tunjuk seperti ini atau itu. Bagi mengelakkan kesilapan ini, anda boleh memulakan ayat seperti Hal yang demikian... atau Hal ini disebabkan... (sesuaikan penggunaan ikut situasi).
Hanya setakat ini dahulu. Tahniah kepada semua dan selamat bercuti. Terdapat beberapa perkara lagi yang akan cikgu maklumkan nanti. Terima kasih.